Thursday, December 6, 2007

Jom! Tengok Wayang

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu telah menganjurkan program Jom! Tengok Wayang kepada ahli-ahli yang berminat untuk turut serta. Filem yang ditayangkan adalah filem 1957: Hati Malaya. Alhamdulillah, ramai juga ahli Puteri yang hadir semasa tayangan tersebut diadakan di TGV, KLCC.

Filem ini bermula agak baik. Cerita digarap dengan kemas. Satu aspek yang boleh diberikan pujian di dalam filem ini adalah pelakonnya. Pelakon yang melakonkan watak tokoh sangat berkaliber dan cemerlang terutama watak Tunku Abdul Rahman dan Dato’ Onn. Gaya dan lenggok mereka seakan sama dengan apa yang di baca, di dengar dan di tonton daripada video lama. Pelakon lain juga melakonkan watak dengan baik. Babak yang menyentuh hati hampir kesemua ahli Puteri semasa di dalam panggung wayang ketika itu ialah semasa Tunku memohon bantuan kewangan untuk misi ke London menuntut kemerdekaan. Dapat dilihat masing-masing mengalirkan air mata. Mungkin terlalu menghayati jalan ceritanya atau semangat patriotisme yang menebal di dalam setiap individu menjadikan babak tersebut begitu menyentuh perasaan.

Keseluruhannya filem ini amat memuaskan. Rugi jika tidak menontonnya. Kepada mereka yang merasakan filem ini tidak berkualiti dan sering memberi kritikan negatif adalah disarankan menontonnya. Mungkin promosi filem ini agak lembab sedikit, tetapi apa salahnya jika digunakan kaedah mulut ke mulut iaitu dengan menonton filem ini dan menceritakannya kepada rakan-rakan supaya mereka juga sama-sama menonton filem ini. Sokonglah industri filem Malaysia. Datanglah ramai-ramai menonton 1957: Hati Malaya!

Wednesday, December 5, 2007

Membeli-belah Bersama Anak-anak Yatim




Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu turut bersama-sama di dalam program 'Membeli-belah Bersama Anak-anak Yatim' anjuran Biro Kebajikan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan di KAMDAR, Mid Valley Megamall.

Lima orang anak-anak yatim yang dipilih (Bahagian Batu) telah diberikan peluang untuk memilih pakaian bagi menyambut kehadiran Syawal yang lalu. Alhamdulillah, walaupun bantuan yang diberikan tidak seberapa, namun senyum tawa mereka menerima pemberian dari pihak Puteri UMNO Wilayah Persekutuan ini, dapat mengurangkan sedikit beban ibu mahupun ayah mereka. "Tangan yang memberi itu lebih baik daripada yang menerima".

Ucapan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Puan Azlinda Rashad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Puan Leni Abdul Latif, Pengerusi Biro Kebajikan Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan dan barisan Exco di atas usaha yang dilakukan.

Monday, October 15, 2007

Majlis Tadarus & Khatam Al-Quran




Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang:

"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

07hb Oktober 2007, beberapa hari sebelum umat Islam menyambut kehadiran Syawal, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu telah mengadakan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran bertempat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul. Program ini disertai oleh wakil ahli-ahli Puteri UMNO dari setiap cawangan. Ia merupakan program yang diadakan khas bagi mengimarahkan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ianya juga membuktikan bahawa Pergerakan Puteri UMNO bukan sahaja membawa ahli-ahlinya di dalam membudayakan aktiviti-aktiviti duniawi tetapi turut mementingkan ukhrawy. Majlis berbuka puasa turut diadakan selepas berakhirnya program Tadarus dan Khatam Al-Quran tersebut.

Puteri Menyusur Akar

Kehadiran bulan Ramadhan sering dinantikan. Di bulan inilah setiap umat muslimin dan muslimat akan mengerjakan ibadah puasa dan ibadah-ibadah sunat bagi menggandakan pahala. Di dalam bulan yang penuh keberkatan ini jugalah, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu meneruskan ekspedisi 'Konvoi Kebajikan - Puteri Menyusur Akar' yang telah menjadi acara tahunan.

Seramai hampir 40 orang penerima bantuan yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, bapa tunggal dan pesakit kronik menerima sumbangan hari raya iaitu berupa barang-barang keperluan harian serta sumbangan duit zakat daripada pihak korporat dan induvidu.

Sumbangan disampaikan sendiri oleh Cik Nor Hazreena Mohamad Hashim, Ketua Pergerakan Putei UMNO Bahagian Batu, Wilayah Persekutuan.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat yang akan senantiasa diingati oleh nenek moyang terdahulu sehinggalah ke generasi hari ini. Pada tahun ini, 31 Ogos 2007 merupakan sambutan kemerdekaan yang ke-50 tahun. Alhamdulillah..

UMNO Bahagian Batu bersama-sama barisan parti komponen Barisan Nasional juga tidak ketinggalan mengadakan pelbagai acara dan aktiviti bagi menyambutkan Hari Kemerdekaan yang ke-50 tahun ini bertempat di Dewan Acara, Pejabat UMNO Bahagian Batu. Majlis telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Kamaruddin Ambok selaku Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Wilayah Persekutuan.




Sunday, October 7, 2007

Salam Aidilfitri


FriendsterKit.com Click here to get one

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin. Semoga kemenangan kali ini disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Bagi mereka yang pulang beraya ke kampung, 'berhati-hati di jalanraya, ingatlah insan tersayang'.

Thursday, October 4, 2007

Program 2007 - Program JOM!Baca



Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu dengan kerjasama KEMAS Kawasan Batu telah menganjurkan Majlis Pra Pelancaran Program JOM! Baca yang bertempat di perkarangan Tadika KEMAS Kg Batu Muda. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Saudari Nolee Asilin Datuk Mohamed Radzi, Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Biro Pendidikan Puteri UMNO Malaysia. Pelbagai acara menarik telah diadakan seperti Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Sukaneka dan English On Wheels. Hampir 100 orang urusetia dan 200 kanak-kanak turut hadir memeriahkan majlis tersebut.

Menurut Pengerusi Biro Pendidikan Puteri UMNO Bahagian Batu, Majlis Pelancaran Program JOM! Baca ini akan diadakan dalam masa yang terdekat. Program ini bukan sahaja merupakan satu aktiviti yang dapat menarik kanak-kanak cilik tetapi juga dapat membuka minda ibu bapa tentang keupayaan anak-anak di dalam pelbagai aspek termasuk komunikasi, akademik dan juga sukan. Turut hadir ke majlis ini adalah YBhg. En. Ramlan Salleh (Naib Ketua UMNO Bahagian), En. Abdullah Saad (Ketua Pemuda UMNO Bahagian), Cik Nor Hazreena Mohamad Hashim (Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian), Mej. (B) Tn Hj Mokhtar Salleh (Setiausaha UMNO Bahagian) serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Cawangan Kg Batu Muda.