Saturday, August 18, 2007

Merah Jambu Tiadakan Dipandang Jemu


Tanggal 08hb Julai 2007 menjadi tarikh yang akan melakar sejarahnya sendiri di dalam lipatan sejarah Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu. Pada tarikh tersebut telah berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu di Hotel Cystal Crown, Jalan Kepong, Kuala Lumpur. Hampir 80 orang perwakilan Puteri telah hadir bagi menjalankan tanggungjawab parti setahun sekali.
Ianya telah dirasmikan oleh YB Dauk Abd Rahman Bakar selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia. Kehadiran beliau disambut dengan iringan gadis yang membawa sirih junjung, taburan bunga mawar, persembahan silat dari kanak-kanak cilik, paluan kompang dan alunan lagu daripada kumpulan gamelan. Majlis berlangsung dalam suasana yang cukup meriah.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada YBhg. Saudari Nor Hazreena Mohamad Hashim, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu dan saf kepimpinan beliau yang telah bertungkus-lumus dan berusaha bagi menjayakan majlis dan mesyuarat pada kali ini.

Anugerah Jasamu Dikenang turut diberikan kepada Puan Norashekin Yusof (selaku bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu bagi sesi 2000-2003) dan Puan Rohizam Shuib (selaku bekas Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu bagi sesi 2000-2003). Ianya sebagai tanda kasih dan kenang-kenangan terhadap kedua-dua orang tokoh tersebut yang dianggap telah banyak memberikan jasa dan budi di dalam menerajui Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu sebelum ini.

Turut hadir YBhg. Datuk Hj Mohd Yusof Abd Hamid (Ketua UMNO Bahagian Batu) dan barisan AJK, YBhg. En. Johari Md ISa (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu), YBhg. En. Ramlan Salleh (Naib Ketua UMNO Bahagian Batu), YBhg. Puan Maimunah Alwai (Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Batu) dan AJK, YBhg. Saudara Abdullah Saad (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu) dan AJK dan pemerhati-pemerhati daripada cawangan-cawangan serta bahagian-bahagian.