
Filem ini bermula agak baik. Cerita digarap dengan kemas. Satu aspek yang boleh diberikan pujian di dalam filem ini adalah pelakonnya. Pelakon yang melakonkan watak tokoh sangat berkaliber dan cemerlang terutama watak Tunku Abdul Rahman dan Dato’ Onn. Gaya dan lenggok mereka seakan sama dengan apa yang di baca, di dengar dan di tonton daripada video lama. Pelakon lain juga melakonkan watak dengan baik. Babak yang menyentuh hati hampir kesemua ahli Puteri semasa di dalam panggung wayang ketika itu ialah semasa Tunku memohon bantuan kewangan untuk misi ke London menuntut kemerdekaan. Dapat dilihat masing-masing mengalirkan air mata. Mungkin terlalu menghayati jalan ceritanya atau semangat patriotisme yang menebal di dalam setiap individu menjadikan babak tersebut begitu menyentuh perasaan.
Keseluruhannya filem ini amat memuaskan. Rugi jika tidak menontonnya. Kepada mereka yang merasakan filem ini tidak berkualiti dan sering memberi kritikan negatif adalah disarankan menontonnya. Mungkin promosi filem ini agak lembab sedikit, tetapi apa salahnya jika digunakan kaedah mulut ke mulut iaitu dengan menonton filem ini dan menceritakannya kepada rakan-rakan supaya mereka juga sama-sama menonton filem ini. Sokonglah industri filem Malaysia. Datanglah ramai-ramai menonton 1957: Hati Malaya!