Thursday, December 6, 2007

Jom! Tengok Wayang

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu telah menganjurkan program Jom! Tengok Wayang kepada ahli-ahli yang berminat untuk turut serta. Filem yang ditayangkan adalah filem 1957: Hati Malaya. Alhamdulillah, ramai juga ahli Puteri yang hadir semasa tayangan tersebut diadakan di TGV, KLCC.

Filem ini bermula agak baik. Cerita digarap dengan kemas. Satu aspek yang boleh diberikan pujian di dalam filem ini adalah pelakonnya. Pelakon yang melakonkan watak tokoh sangat berkaliber dan cemerlang terutama watak Tunku Abdul Rahman dan Dato’ Onn. Gaya dan lenggok mereka seakan sama dengan apa yang di baca, di dengar dan di tonton daripada video lama. Pelakon lain juga melakonkan watak dengan baik. Babak yang menyentuh hati hampir kesemua ahli Puteri semasa di dalam panggung wayang ketika itu ialah semasa Tunku memohon bantuan kewangan untuk misi ke London menuntut kemerdekaan. Dapat dilihat masing-masing mengalirkan air mata. Mungkin terlalu menghayati jalan ceritanya atau semangat patriotisme yang menebal di dalam setiap individu menjadikan babak tersebut begitu menyentuh perasaan.

Keseluruhannya filem ini amat memuaskan. Rugi jika tidak menontonnya. Kepada mereka yang merasakan filem ini tidak berkualiti dan sering memberi kritikan negatif adalah disarankan menontonnya. Mungkin promosi filem ini agak lembab sedikit, tetapi apa salahnya jika digunakan kaedah mulut ke mulut iaitu dengan menonton filem ini dan menceritakannya kepada rakan-rakan supaya mereka juga sama-sama menonton filem ini. Sokonglah industri filem Malaysia. Datanglah ramai-ramai menonton 1957: Hati Malaya!

Wednesday, December 5, 2007

Membeli-belah Bersama Anak-anak Yatim




Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu turut bersama-sama di dalam program 'Membeli-belah Bersama Anak-anak Yatim' anjuran Biro Kebajikan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan di KAMDAR, Mid Valley Megamall.

Lima orang anak-anak yatim yang dipilih (Bahagian Batu) telah diberikan peluang untuk memilih pakaian bagi menyambut kehadiran Syawal yang lalu. Alhamdulillah, walaupun bantuan yang diberikan tidak seberapa, namun senyum tawa mereka menerima pemberian dari pihak Puteri UMNO Wilayah Persekutuan ini, dapat mengurangkan sedikit beban ibu mahupun ayah mereka. "Tangan yang memberi itu lebih baik daripada yang menerima".

Ucapan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Puan Azlinda Rashad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Puan Leni Abdul Latif, Pengerusi Biro Kebajikan Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan dan barisan Exco di atas usaha yang dilakukan.